Doa Untuk Ibu Genuine Dari Seorang Anak

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah ya tuhanku.

Aku sangat menyayangi ibuku.
Setiap waktu aku berdoa supaya Engkau menyanyanginya seperti mana dia menyayangi aku di masa kecil.
Aku pinta, kurniakanlah padanya kesihatan tubuh badan supaya dia senang mengerjakan ibadatnya.
Ibuku sudah separuh abad, jadi Engkau permudahkanlah urusannya dalam mencari harta akhirat.
Engkau bukakanlah pintu rezeki seluas-luasnya dan peliharalah dia dari termakan yang tidak halal. 

Ya tuhanku, ibuku sangat sabar dalam menghadapi ujianmu. 
Maka seperti yang Engkau janjikan, tempatkanlah dia dalam golongan orang yang beriman. 
Engkau ampunkanlah dosanya semasa muda kerana kejahilannya.
Engkau ampunkanlah dosanya semasa tua kerana kelalaiannya.
Engkau ampunkanlah dosanya terhadap ibu bapanya dan seluruh manusia yang disakitinya.
Aku pohon kepada-Mu, haramkanlah tubuhnya dari api neraka.
Semoga dia meniti titian sirat sampai ke penghujungnya.

Ya tuhanku, sesungguhnya memang aku tidak sanggup berpisah dengan ibuku.
Namun sekiranya tiada lagi rezekinya di dunia dan tiada lagi udara bahagiannya.
Engkau permudahkanlah sakaratul maut baginya.
Engkau peliharalah jasadnya.
Engkau jauhkan dia dari siksa azab kubur.
Haramkanlah isi dagingnya dari segala ular dan kala.
Luaskanlah persinggahannya dan terangilah ia seperti mana yang Engkau janjikan kepada golongan yang soleh.

Ya Allah ya tuhanku.

Harta dan anak itu adalah ujian. 
Aku pohon, ampunilah dia sekiranya lalai menguruskan hartanya.
Terimalah solatnya, puasanya, zakatnya, sedekahnya dan amal ibadatnya yang lain.
Berilah peluang kepadanya untuk mengerjakan haji sebelum dia tidak mampu.

Dan sekiranya anak-anaknya lalai mengerjakan suruhan-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui.
Bahawa ibuku telah mendidik anak-anaknya dengan segala kudratnya. 
Jika aku dan adik-adikku lalai dan berbuat dosa, sesungguhnya itu adalah kelemahan kami sendiri. 
Ampunkanlah dosa-dosa kami ya Allah....
Kami tidak mahu menjadi pemberat amalan buruknya apabila dihitung nanti.

Astaghfirullahal'azim.
Robbana atina fiddunya hasanah.
Wafil akhirati hasanah.
Waqina 'azabannar.
Waqina 'azabannar.
Waqina 'azabannar.

2 comments:

Hey guys...thanks for dropping by here. I'll be glad to know your thoughts about this entry. Please leave your track ok ^___^