Cinta itu adalah perasaan yang rumit. Cinta membuatkan kita hilang pertimbangan dan kadang-kadang mendorong kita untuk melakukan satu pengorbanan yang mungkin pada pandangan orang lain ialah satu kebodohan. Kisah cinta setiap orang berbeza. Jadi memang susah untuk kita membanding-bandingkan dengan kisah cinta teragung yang lain.
Selalunya hanya kita yang memahami diri sendiri dan keperluan kita daripada cinta. Ada yang memerlukan perhatian sepanjang masa, ingin pergi ke mana bersama dan mengisi kekosongan hari dengan si dia ada di sisi. Cinta ini hanya berkisar antara dua nyawa yang hampir melupakan dunia sekeliling. Matanya gelap ketika menoleh ke kiri dan kanan, tapi tidak bila kekal ke depan. Mungkin pada mereka, yang lain tidak penting asalkan ada satu sama lain.
Namun ada juga yang tidak perlu clingy. Hanya komitmen, kejujuran dan kesetiaan yang dipinta. Cinta ini mungkin boleh dipanggil cinta dewasa kerana tidak semua orang memahami bahawa cinta itu bukan ditafsirkan sebagai memiliki. Cukuplah sekadar memiliki hatinya kerana jasadnya mungkin lebih diperlukan oleh ibunya atau bapanya. Cinta dewasa tidak mengongkong.
Ada juga cinta yang tak kesampaian. Cinta yang bertepuk sebelah tangan. Kata orang, cinta jenis ini wujud kerana pengecut yang tidak berani meluahkan perasaannya dan tidak berani menerima penolakan. Mungkin lebih baik mencintai dalam diam, merenung dari jauh dan mengirim doa semoga dia baik-baik aja. Ada yang lebih selesa memutarkan lagu cinta berkali-kali dan menghayati lirik seolah-olah kisah hidup mereka telah dijadikan lagu. Tiada mustahil ada yang selesa begini.
Dan jangan terkejut kalau ada juga cinta yang lebih baik tidak wujud. Cinta yang menjadikan kita bodoh. Lebih dungu jika kita sedar akan kebodohan itu. Beza pengorbanan dan kebodohan ialah, pengorbanan itu sepatutnya membawa kepada perkara yang lebih baik. Manakala kebodohan hanya mengusutkan keadaan. Cinta yang kononnya sanggup buat apa saja demi dia. Cinta yang sentiasa memerlukan bukti. Jika cinta, tunjukkan bukti itu dan ini. Jika tiada bukti, cinta tidak akan diberi. Cinta yang berlandaskan sogokan bukti ini sepatutnya tidak ada. Kerana cinta adalah perkaitan hati. Bukan perkaitan gaji besar, kereta besar, rumah besar dan boobs besar. Ini cinta yang palsu. Tiada cinta dalam dirinya. Jadi berhentilah!
Dalam banyak banyak cinta, cinta yang mana kita harap akan lalui? Tentunya cinta yang paling sempurna. Tapi cinta yang sempurna itu luas takrifannya. Mungkin ada yang mengatakan cinta yang sakit itu lah yang sempurna. Kerana itu mereka tidak mahu berhenti menyakitkan diri sendiri kerana cinta. Mungkin ada yang mahu kekal cinta dari jauh. Kerana itu mereka menyimpan perasaan itu dalam-dalam, takut terluka jika diluah.
Apa yang penting, cinta itu membuat kita gila jika gagal mengawalnya. Ia membuatkan kita curang jika menyintai lebih dari satu. Namun dengan kawalan yang baik, cinta itu sangat membahagiakan. Cinta itu boleh menjadi nikmat jika ia hadir pada masa yang betul, tempat yang betul dan diserahkan kepada orang yang betul. Cinta menjadi satu masalah kiranya ianya datang pada masa yang salah, tempat yang salah dan diserahkan kepada orang yang salah.
3 comments:
fear of rejection is hold back most people
(^_^)
dehe: thats the thing. in anything, fear comes first. then, maybe a little hope.
mr. d: senyum jugak (^^,)
Post a Comment